Ciptaan pelajar UNITEN raih anugerah

| Posted by | Categories: News

Kuala Lumpur: Kejayaan menghasilkan produk daripada sabut kelapa dan hampas tebu untuk meningkatkan tahap keselamatan penghadang jalan raya membolehkan pelajar Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) memenangi pingat emas di Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) 2016 di sini, kelmarin.

Pelajar semester kedua pengajian doktor falsafah (PhD) Kejuruteraan Mekanikal Zulkarnain Jamak berkata, lebih 400 produk disenaraikan dalam pertandingan yang berlangsung pada 18 hingga 20 Februari lalu. Menurutnya, walaupun itu adalah penyertaan pertamanya bersama pasukan UNITEN namun semangat berpasukan membuatkan mereka mampu menghadapi segala cabaran di dalam pertandingan itu. “Antara fokus yang dibuat dalam kajian ‘High Impact Guardrail Using Recycle Materials’ adalah membabitkan bahan buangan terpakai seperti sabut kelapa dan hampas tebu.

“Adunan dan penghasilan semula bahan terpakai ini mampu meningkatkan tahap keselamatan sesebuah penghadang jalan raya, sekali gus menyelamatkan nyawa pengguna,” katanya menerusi kenyataan di sini, semalam. Pertandingan itu menghimpunkan pelbagai produk penyelidikan untuk diketengahkan kepada masyarakat dan industri.

Selain UNITEN, antara pasukan yang menyertai pertandingan itu ialah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sekolah Menengah Sains, Universiti Teknologi Petronas (UTP), Institut Latihan Perindustrian (ILP), universiti awam (UA), Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM).

Ia dianjurkan menerusi kerjasama antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Pendidikan (KPM), Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Pusat Pembangunan Rekabentuk Malaysia (DDEC), Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dan Protemp Sdn Bhd.

Sourced from: Harian Metro|22 February 2016

Brought to you by:

Supported by:

Media Partners: