MTE 2017 diunjur raih nilai dagangan RM100 juta

| Posted by | Categories: News

KUALA LUMPUR: Persatuan Saintis Penyelidikan Malaysia (MARS) dan PROTEMP Exhibition and Conferences Sdn Bhd, penganjur Ekspo Teknologi Malaysia 2017 (MTE 2017), menjangkakan pameran selama tiga hari itu akan mencatat nilai dagangan kira-kira RM100 juta. Presiden MARS, Dr Wan Manshol Wan Zin, berkata acara itu merekodkan nilai dagangan melebihi RM85 juta pada tahun lalu. Beliau berkata, sasaran MTE 2017, yang bermula hari ini, akan dipacu oleh program suai padan perniagaan, di samping aliran dagangan, selain sebagai platform untuk sektor awam dan swasta membincangkan pengkomersialan serta kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D). “Kami yakin dapat mencapai sasaran lebih tinggi tahun ini dengan pembabitan 100 pempamer, di samping jangkaan 6,000 pengunjung dan 500 reka cipta dari tujuh negara – Taiwan, Iran, Croatia, Lithuania, Indonesia, Vietnam dan Malaysia,” katanya pada majlis perasmian MTE 2017 di sini, hari ini. MTE 2017 dirasmikan Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Datuk Norhalim Yunus. Sementara itu, Norhalim berkata, MTE yang diadakan pertama kali pada 2001, menarik pereka cipta serta pelabur berpotensi yang mempamerkan produk mereka kepada pelabur dan pengilang bagi pengkomersialan. Beliau berkata, perusahaan kecil dan sederhana perlu mengambil peluang dalam acara itu untuk meneroka produk yang boleh dikomersialkan serta mencari rakan kongsi bagi tujuan memperluaskan perniagaan di peringkat tempatan dan luar negara. Katanya, dua syarikat Malaysia yang menyertai MTE 2016 – Cell Tissue Technology Sdn Bhd dan NovaPave Sdn Bhd – telah berjaya mengkomersialkan produk mereka. “Sebagai sebahagian program keusahawanan graduan kami, kami bersetuju untuk membiayai produk dari Universiti Malaysia Pahang dan Universiti Malaysia Perlis,” katanya. MTDC, di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, menyediakan pelbagai perkhidmatan sokongan menyeluruh untuk usahawan teknologi, bermula daripada peringkat makmal sehingga tahap pengkomersialan. Tahun ini, MTDC memperoleh pinjaman bernilai RM95 juta daripada enam dana – Dana Pengkomersialan R&D, Dana Pemilikan Teknologi, Dana Permulaan Perniagaan, Dana Pertumbuhan Perniagaan, Dana Perluasan Perniagaan serta Dana Pembangunan Teknologi Halal. MARS menguruskan pertandingan reka cipta dan inovasi serta pendedahan kepada pereka cipta Malaysia, manakala PROTEMP melaksanakan acara untuk sektor farmaseutikal, penjagaan kesihatan, air dan alam sekitar, selain sains dan teknologi. – BERNAMA

Sourced from: Berita Harian|16 February 2017

Brought to you by:

Supported by:

Media Partners: